Sudah menjadi fitrah setiap sesuatu perkara
yang baik pasti ada perkara sebaliknya yang mengekori. Ada yang halal, maka
akan ada yang haram. Ada yang gembira, akan ada ketikanya duka. Ada yang
dicintai, dan ada yang dibenci. Ada pertemuan, maka akan ada perpisahan.
Begitu halnya dalam bersahabat. Ada
waktunya kita gembira dan ada waktunya kita bersedih. Ada waktunya kita
mencintai dan ada waktunya kita menjauhi. Dan dalam kebersamaan itu akan hilang
rasa khuatir dan takut. Musnah rasa gelisah dan resah jika kebersamaan dan
persahabatan itu ditaut dengan iman dan taqwa.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu
bersaudara. Maka damaikanlah di antara kedua saudaramu. Bertaqwalah kepada
Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)
Teringat saya akan kenangan semasa di
sekolah dahulu. Dalam bersahabat bukan setiap masa kita gembira. Ada kalanya
juga kita bertengkar. Apa yang penting setiap pertengkaran itu membuatkan kita
lebih memahami satu sama lain. Lebih menghormati hak-hak masing-masing.
Bersahabat Itu Ertinya Bersatu
Teringat kata-kata Ustaz Khazri semasa saya
bersekolah dahulu, “Sahabat paling rapat dengan kamu adalah sahabat yang tidak
kisah soal duit. Andai kata sahabatnya kesusahan dalam soal duit, terus dihulur
dompetnya kepada sahabatnya.”
Begitu katanya tentang sahabat. Ustaz
Khazri Osman yang saya kenal memang bukan seorang yang lokek. Andai kata ada
pelajar di asrama mempunyai masalah, dia akan cuba membantu sebolehnya.
Meskipun masalah kewangan.
Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata,
“Perumpamaan orang-orang yang beriman yang saling cinta-mencintai,
sayang-menyayangi, dan bantu-membantu di antara satu sama lain umpama sebuah
jasad. Apabila salah satu anggota terasa sakit, seluruh jasad akan berasa
sakit.”
Saat Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar
berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka berhenti bermalam di Gua Tsur. Abu
Bakar meminta nabi tunggu sebentar di luar. Abu Bakar tahu Gua Tsur banyak
dihuni oleh binatang-binatang berbisa. Abu Bakar membersihkan ruang gua tersebut
dan mencarikkan kain bajunya untuk menutup beberapa lubang kecil.
Selepas dipersilakan masuk oleh Abu Bakar,
Nabi Muhammad s.a.w masuk dan membaringkan tubuhnya di atas tanah dengan
kepalanya berbantalkan paha Abu Bakar. Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad s.a.w
tertidur.
Tiba-tiba keluar seekor ular dari lubang
yang tidak ditutupi kain. Terus, Abu Bakar menutup lubang itu dengan kakinya.
Lantas ular tersebut pun menggigit kaki Abu Bakar. Beliau tidak mahu
menggerakkan pehanya kerana tidak mahu tidur Nabi Muhammad terganggu.
Beliau merasakan kesakitan yang amat tetapi
tetap tidak berteriak, tidak mengaduh dan tidak menggerakkan kakinya. Abu Bakar
menahan kesakitan sehingga tubuhnya lemah dan akhirnya beliau menangis. Titisan
air matanya jatuh ke muka Rasulullah sehingga Baginda terbangun.
Inilah pengorbanan seorang sahabat yang
sejati. Yang rasa cinta kepada sahabatnya begitu tinggi. Lebih daripada rasa
cinta kepada dirinya sendiri.
Bersahabat Perlu Sentiasa Bersedia
Walau kadang-kadang timbul persoalan di
hati saat sesuatu tidak berjalan sebagaimana yang dikehendaki. Walau kadang ada
rasa tidak puas saat tidak mendapat apa yang diharapkan. Tapi, bersahabat tetap
memberikan kita sesuatu yang penting iaitu tentang kehidupan.
Setiap yang hidup pasti akan meninggal
dunia. Setiap pertemuan pasti adanya perpisahan.
Kita perlu sentiasa bersedia. Bersedia
untuk berpisah. Itu fitrahnya. Soalnya cuma tinggal bila, mengapa dan
bagaimana.
Tags: featured, persahabatan


No comments:
Post a Comment